Friday, September 11, 2015

Tuhan Sayang Pada Uncle ...

Hari ini.

Ya.  Hari ini,  hari yang paling menggembirakan Abdul Razak.  Dia bangun seawal jam 4 pagi untuk melaksanakan solat tahajjud.  Walaupun malam tadi,  dia hanya sempat untuk merebahkan tubuhnya pada jam 12 tengah malam,  namun kegembiraan telah menghilangkan keletihan membuat persiapan hari perkahwinannya.

Usai mengerjakan solat tahajjud.  Dia sempat menatap bingkai kaca gambar bakal isterinya,  Insyirah.

Sedang asyik berzikir.  Pintu biliknya diketuk.  Pintu terkuak perlahan.  Muncul ibu angkatnya,  puan Robiah.  Dengan senyuman puan Robiah menyapa Abdul Razzak.  "Dah bangun ? sekejap lagi dah masuk waktu Subuh."


Abdul Razak hanya mengangguk sambil tersenyum.

Atas permintaannya.  Abdul Razak mendapat perkenan keluarga angkatnya untuk mengenakan sepasang Kurta diwaktu upacara akad nikahnya.


Insyirah juga akan mengenakan pakaian Punjabi yang menutup aurat.

Seperti yang telah dirancang.  Mereka akan mengadakan majlis akad nikah di sebuah masjid.  Dimana,  di masjid itulah kali pertama Abdul Razak dibawa untuk solat Zohor,  usai proses pengislamannya,  3 tahun yang lalu.


Sungguh cantik busana yang dikenakan oleh pasangan mempelai itu.  Menambah seri apabila saudara mara dan para sahabat juga ada yang turut mengenakan busana Punjabi.

Abdul Razak memandang sekilas bakal isterinya yang duduk tidak hanya beberapa langkah darinya.

Debaran semakin terasa.  Apabila tuan kadhi memulakan khutbah nikah.  Namun,  pengantin dan pihak keluarga tidak berasa jemu kerana tuan kadhi bijak mengendalikan majlis dengan nasihat yang bersahaja tetapi cukup mantap.

Tangan mereka berjabat erat. 

"Abdul Razak!"   seru tuan Kadhi.

"Saya!"   Razak menjawab dengan penuh yakin.

Lafaz nikahnya begitu jelas dan mantap. 

"Sah?"   tuan kadhi memandang saksi pertama.

Tiba-tiba pandangan mata Abdul Razak tertancap ke arah seorang anak gadis yang memakai baju blaus berwarna krim.

Anak kecil itu memandangnya sambil tersenyum,  dan terus menghilangkan diri dicelah daun pintu masjid.

Abdul Razak terpempan dengan apa yang dilihatnya.

Anak gadis comel memakai blaus berwarna krim.

***

5 tahun yang lalu.

Mata Raju terpisat-pisat kepedihan akibat sinaran cahaya mentari di celah-celah dedaunan.  Dipandangnya keliling.  Beberapa orang gelandangan masih enak tidur berlapikkan kertas dari kotak yang dihamparkan. 

"Assalamu'alaikum pakcik..."  kedengaran suatu suara halus entah dari mana.

Tiba-tiba disebelah kirinya.  Seorang anak kecil sedang menghulurkan bungkusan berisi makanan dan minuman.

Diambilnya bungkusan itu dengan penuh hormat.

Itulah rezeki untuk golongan gelandangan sepertinya,  yang tinggal dibawah jambatan,   tidak jauh dari Masjid Negara.

Program yang dianjurkan oleh beberapa NGO itu sering ditunggu oleh gelandangan yang hidup mereka,  kais pagi makan pagi,  kais petang makan petang.  Malam,  mereka menahan lapar.


Akibat kesempitan hidup.  Gaji yang diterima sebagai pembantu gerai memang tidak mencukupi.  Bukan semua gelandangan terdiri dari penganggur.  Dan bukan semua penagih dadah hidup dibawah jambatan,  seperti Raju.


Seketika,  Raju memandang anak kecil itu dengan pandangan yang kabur.  'Masiha da insan yang berhati mulia.'   gumam Raju sendirian.


"Uncle,  tuhan sayang pada uncle ..."  si kecil itu sungguh petah bercakap dengannya.

Raju tergamam.  Namun,  melihat wajah si kecil yang sungguh bersih,  putih dan gebu itu.  Hatinya bagai diketuk-ketuk oleh tangan yang sungguh suci.


"Marina,  jom,  kita ke tempat lain pula...."  kedengaran suara seorang wanita memanggil anak kecil itu.

Dan si kecil itu melambai-lambai ke arah Raju.


Raju hanya mampu membalas lambaian itu dengan senyuman kelat.

Apabila si kecil yang memakau blaus berwarna krim itu hilang dari pandangan matanya.  Barulah terbuka mulut Raju untuk mengucapkan terima kasih.  "Thank you dear,  you are so kind."


Bungkusan makanan dibuka.  Terdapat sebungkus nasi lemak,   2 biji roti krim,  sekotak air soya dan sebotol air meneral.

Tidak menunggu lama.  Raju terus menikmati makanan yang diberikan dengan agak gelojoh setelah semalaman tidak merasai sebarang makanan.

Sehabis makan.  Sewaktu hendak mengambil botol air mineral.  Terselak dari celahan bungkusan kain,  sebotol racun.

Raju memandang botol kecil berisi racun itu dengan linangan air mata.

Malam tadi.  Dia memang telah nekad untuk menamatkan hidupnya dengan meminum racun.  Hidupnya sudah tiada erti lagi. 

Setelah berhenti dari menjadi penagih dadah.  Disebabkan tiada wang,  dia mencuri.  Dan telah beberapa kali ditangkap.  Pernah di tahan di dalam lokap.  Dan pernah meringkuk di dalam penjara selama beberapa tahun.

Keluarga sudah membuang dirinya.

Raju sudah tiada tempat untuk mengadu.


Sewaktu hendak membuka botol racun itu.  Angin bertiup kencang,  membawa bersama hujan malam yang terasa begitu menggigit isi dan tulangnya dek kesejukan.

Raju terus bangun dan beredar dari tempat biasa,  ke satu kawasan yang agak teduh bagi mengelakkan rembesan hujan yang menggila.

Akibat kepenatan Raju tertidur.


Seorang anak kecil telah datang kepadanya dengan berlari-lari.  Si kecil itu datang dan mendakapnya dengan sepenuh kasih sayang.  Dia dapat merasakan kehangatan kasih sayang dari seorang anak kecil.

"Uncle,  tuhan sayang pada uncle ..." 

Raju tergamam. Dia pandang keliling.  Baru dia tersedar,  rupanya itulah ayat yang didengarinya dalam mimpi.  Dan sekali lagi ayat itu diucapkan oleh anak kecil yang memakai blaus berwarna krim.

Dia bingkas bangun.  Berlari ke satu arah.  Mencari seseorang.  Namun hampa.  Dia mahu mencari anak kecil itu.

Raju terduduk.  Apakah ini petunjuk dari tuhan ?

Dua minggu berlalu.  Setiap kali hari minggu.  Raju akan bersiap dari awal.  Menunggu si kecil itu datang.  Tetapi harapannya hampa.

NGO yang datang hanyalah terdiri dari orang dewasa.

Dan kesemua sukarelawan   yang ditemuinya  tidak mengetahui langsung tentang anak kecil yang dimaksudkan oleh Raju.


Akhirnya Raju kembali kesepian.  Mengharapkan keajaiban yang entah akan datang dari mana.

Hari itu,  usai membasuh pinggan mangkuk di kedai tempatnya bekerja.  Taukeh memintanya supaya menghantar beberapa cawan air teh dan mee ke sebuah kedai yang terletak tidak jauh dari situ.


Usai menghantar makanan dan minuman itu.  Raju berjalan berlenggang menuju ke tempat kerjanya semula.

Dipertengahan jalan.  Seseorang menegurnya.

"Uncle,  uncle!"


Dia berpaling ke belakang.   Rupanya 2 orang remaja berjubah dan berserban memanggilnya.  Salah seorang remaja itu terus menghulurkan sehelai wang kertas kepadanya.

"Uncle tercicir duit tu..."


"Eh,  ini bukan duit saya ni..."   Raju enggan menerimanya.



"Takkanlah kami nak tipu pula,  kalau bukan duit uncle,  yang pasti ini bukan duit kami."


Raju mengambil duit itu dengan perasan berbelah bahagi.

Buka wang kertas RM5 atau RM10.  Tetapi RM100.


Sewaktu remaja itu hendak beredar.  Mereka sempat berkata.

"Uncle,  tuhan sayang pada uncle,  DIA nak bagi uncle rezeki ..." 

Dan kedua-dua remaja itu berlalu dengan senyuman.


Malam itu,  Raju tidak dapat tidur.  Sebentar dia berpusing ke kanan,  dan sebentar dia berpusing ke kiri.  Dia resah. Sesekali dia mengeluarkan wang RM100. Dibeleknya wang itu dengan perlbagai persoalan yang tidak akan terjawab.


Subuh itu.  Raju mendengar suara Al Quran dibaca.  Dari arah Masjid Negara.  Entah kenapa,  dari mana datangnya satu perasaan halus.

Seolah-olah mengajaknya mendekati masjid.

Bagaikan dirasuk.  Raju berjalan perlahan-lahan mendekati Masjid Negara.

Dia mendengar setiap kalimah yang dibaca oleh Imam dalam solat Subuh. 


Inilah kali pertama Raju dapat merasakan satu ketenangan menyelinap ke dalam hati sanubarinya.


Sewaktu hendak menaiki tangga.  Tiba-tiba seorang tua yang bertongkat telah tergelincir.  Raju yang berada berdekatan orang tua itu terus menyambut dan memeluk tubuh orang tua itu.

"Allahu akbar."  Terpcaul kalimah suci dari mulut Raju.

Dan beberapa orang turut membantunya mengangkat orang tua itu ke atas masjid.


"Terima kash saudara,  kalau saudara tak ada disitu tadi,  boleh cedera tubuh ayah saya.  Terima kasih."  ucap pemuda yang merupakan anak kepada orang tua itu.

"Pakcik nak bersolat,  kamu dah solat?"   pakcik itu bertanya kepada Raju.


Raju tergamam.

"Er,  saya belum Islam lagi ..."   gugup Raju menjawab.

Pemuda itu memandang ayahnya.


"Kalau saya nak belajar tentang Islam,  bolehkah pakcik tolong bimbing saya.?"   Raju bertanya dengan begitu tulus.

"Allahu Akbar,  Allahu Akbar ... lebih dari itu kami boleh bantu saudara."   pemuda itu terus menggenggam tangan Raju dengan sifat kasih seorang Muslim yang bersaudara.

Hampir sebulan dia menetap di sebuah rumah sewa bersama-sama beberapa orang pekerja restoran milik ayah angkatnya itu.

Akhirnya.  Raju tidak merasa ragu-ragu lagi.

Dia menemui ayah angkatnya itu dan menyatakan hasratnya yang sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Usai mengucap dua kalimah syahadah dengan sepenuh kerelaan.  Raju bersalam dan mengucup tangan ayah angkatnya.   Mereka berpelukan dalam tangisan.


Raju memilih nama Abdul Razak sebagai nama baharu dalam agama Islam.

Sewaktu menaiki kereta untuk pulang ke rumah.  Di satu simpang.  Abdul Razak  ternampak satu kelibat manusia yang seperti pernah ditemuinya.


Seorang anak kecil yang memakai bluas berwarna krim. Sedang berjalan sambil dipimpin oleh seorang wanita.  Sambil menoleh ke arahnya,  anak kecil itu melambai-lambai ke arah Abdul Razak,  dengan senyuman.

Tidak sempat Abdul Razak hendak berkata apa-apa,  kereta terus bergerak dan melencong ke arah kiri.


Malam itu.  Haji Yahya mengadakan majlis kesyukuran dan doa selamat untuk anak angkatnya yang baharu memeluk agama Islam.

Abdul Razak kelihatan segak memakai baju Melayu dan berkain pelikat serta bersongkok.

Sewaktu melayani tetamu.  Sebuah keluarga tiba agak lewat.  Makanan sudah hampir habis.  Abdul Razak bertanya kepada ibu angkatnya,  mungkin ada seektul atau sejenis lauk pauk untuk dijamu kepada tetamu.

Ibunya menceduk seketul ayam masak merah dalam periuk kecil,  dan diserahkan kepada Abdul Razak.

"Susah-susah kamu carikan lauk untuk kami."  luah tuan haji Imran, dan disambut dengan senyuman manis dari Insyirah.

Abdul Razak memandang Insyirah dengan debaran yang tersembunyi.

Disitulah Cinta Mula Bersemi.





No comments:

Post a Comment